Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maut dalam bangunan elektrik

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Seorang lelaki ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah bangunan elektrik di STKRJ Kampung Rimba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 4:32 pagi tadi.

    Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei, penyiasat dari Balai Polis Bandar Seri Begawan (BSB) segera ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan di talian 993 pada 31 Oktober jam 4:32 pagi.

    Mereka telah menerima laporan daripada penduduk kampung yang mendengar bunyi letupan dan teriakan semasa kejadian tersebut dan melaporkannya kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

    Pemeriksaan polis di tempat kejadian menemui susuk tubuh dipercayai seorang lelaki yang terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dan melecur tubuhnya.

    Polis juga mendapati pintu panel elektrik dalam keadaan terbuka dan menemui alat dan perkakas dipercayai digunakan untuk memotong kabel.

    Paramedik yang tiba di tempat kejadian mengesahkan kematian lelaki tersebut dan dihantar ke bilik mayat, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi bedah siasat.

    Menurut polis, punca kejadian masih lagi disiasat dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mengetahui mengenai kejadian itu diminta segera tampil ke balai-balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

    Mayat lelaki terbabit ditemui dalam bangunan elektrik di STKRJ Kampung Rimba oleh pihak polis yang berkejar ke tempat kejadian selepas menerima laporan mengenai bunyi letupan dan teriakan. – Gambar serahan PPBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda