Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun dan dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di kawasan Jalan Gadong, Kampung Jangsak, Daerah Brunei dan Muara, hari ini.
Kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan yang berlaku pada jam 2:37 petang itu disahkan oleh Balai Polis Bandar Seri Begawan sejurus menerima laporan melalui talian kecemasan 993.
Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, salah seorang pemandu yang terlibat dalam kemalangan itu masih berada dalam kenderaannya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Pihak bomba dan penyelamat yang turut hadir di lokasi kejadian berusaha dan telah berhasil mengeluarkan mangsa yang didapati tersepit akibat impak kemalangan.
Sejurus dikeluarkan, ahli paramedik bertugas segera membuat pemeriksaan dan telah mengesahkan mangsa berkenaan sudah meninggal dunia. Manakala itu, dua pemandu lain yang terlibat sama dalam kemalangan tersebut dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi menerima rawatan dan pemeriksaan lanjut dan ketika ini dalam keadaan stabil dan selamat.
Pihak polis juga masih lagi melakukan penyiasatan bagi mengetahui akan punca sebenar kemalangan berlaku.