LABUAN, 9 Dis 2003 – Seorang wanita berusia 46 tahun terkorban gara-gara menahan keretanya yang terundur gara-gara terlupa menahan brek tangan di kawasan lereng bukit di rumahnya di Perumahan Dua Taman Guan Huat Kampung Batu Arang dekat sini.
Elizabeth Azun yang bertugas sebagai jurutaip di Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Nekleus kerana cedera parah di bahagian mulut dan kehilangan banyak darah.
Menurut rakan mangsa, Eugenie Laban yang menyaksikan kejadian tersebut berkata, insiden itu berlaku pada jam 10:30 malam selepas menziarah jenazah pakciknya yang meninggal dunia pada sebelah paginya di kampung Sungai Bedaun.
Eugenie berkata, beliau yang turut bersama dalam kereta mangsa selepas menziarahi mendiang pakciknya terus pulang ke rumah dan seperti biasa beliau meletakkan kereta Proton Iswara miliknya di hadapan rumahnya.
Tanpa disedari kereta proton milik mangsa bergerak kebelakang dan mangsa terus cuba menahan dari belakang tatapi gagal menahan kereta tersebut sehinggalah beliau terjatuh ke dalam longkang bersama-sama keretanya.
“Saya hanya nampak kereta bergerak tetapi tidak mengetahui mangsa ada di belakang kereta. Saya hanya menyedari apabila melihat badan mangsa yang dihempap kereta di bawah longkang,” katanya kepada wartawan News Sabah Times yang mengunjungi rumah mangsa.
Menurut Eugenie lagi, sebelum kejadian berlaku, beliau hanya sempat melihat mangsa mengunci pintu kereta dan selepas itu beliau terus masuk ke dalam rumah dan hanya menyedari apabila terdengar sesuatu bunyi di luar rumah dan mendapati kereta Proton sudahpun berada di luar jalan kira-kira tiga meter dari kawasan rumahnya.