Maut ketika pertandingan makan kek

SYDNEY, 27 JAN – Seorang wanita maut semasa mengambil bahagian dalam pertandingan memakan kek untuk meraikan Hari Australia, media tempatan melaporkan hari ini.

Anggota paramedik kemudiannya dikerahkan ke tempat kejadian di negeri Queensland selepas menerima panggilan petang kelmarin mengenai kejadian itu.

Penyiar awam ABC melaporkan wanita berusia 60 tahun itu tercekik selepas dia memasukkan lamington ke dalam mulutnya.

Lamington, pencuci mulut tradisional Australia, merupakan kek span berbentuk kubus yang dicelup dalam coklat dan dilapisi kelapa parut.

Wanita itu dikejarkan ke hospital di bandar pantai Hervey Bay tetapi kemudian meninggal dunia, ABC melaporkan.

Beliau merupakan peserta di dalam acara tahunan Hari Australia dalam pertandingan memakan pai daging dan kek lamington di Beach House Hotel.

Dalam perkongsian di Facebook, pihak pengurusan dan kakitangan menzahirkan ‘ucapan takziah yang mendalam’ kepada rakan dan keluarga wanita itu.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan, kakitangan kami, dan Perkhidmatan Ambulans Queensland atas respons yang diberikan dan profesional mereka ketika kejadian tragis ini berlaku,” kata jabatan tersebut. – AFP