NEW DELHI, 25 OGOS – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut, selepas tali layang-layang disalut serbuk kaca terkena lehernya, ketika menunggang motosikal bersama bapanya, iaitu insiden kedua yang berlaku dalam tempoh seminggu.
Layang-layang adalah sukan popular di India, tetapi ia bertukar menjadi berbahaya sejak kebelakangan ini, apabila orang ramai menggunakan tali disalut serbuk kaca atau logam bagi memutuskan tali layang-layang pesaingnya.
Angka kematian dan kecederaan akibat insiden itu, dilaporkan meningkat semasa Hari Kemerdekaan India yang berlangsung setiap 15 Ogos, apabila orang ramai secara tradisinya menerbangkan layang-layang yang dicat dengan warna menyamai bendera India.
Times of India yang memetik seorang doktor berkata, dalam insiden terbaharu semalam, kanak-kanak perempuan itu sedang dalam perjalanan ke sebuah kuil di ibu kota India bersama bapanya, apabila tali itu memotong hampir separuh lehernya.
Kira-kira tiga tahun lalu, Kerajaan New Delhi mengeluarkan amaran mengenai pengharaman pengeluaran, jualan dan simpanan tali yang diubahsuai menjadi tajam.
Kerajaan berkata, sesiapa yang ditangkap dengan tali seumpama itu bakal berdepan penjara lima tahun dan denda 100,000 rupee (AS$1,400). – AFP