SACRAMENTO, 17 APRIL – Klay Thompson menjaringkan 16 daripada 23 matanya dalam aksi suku kedua buat Dallas bagi menebus prestasi hambarnya di Sacramento setahun lalu, justeru membantu Mavericks menewaskan Kings 120-106 semalam untuk mara dalam Kejohanan Play-In NBA.
Tepat setahun selepas Thompson gagal menjaringkan sebarang mata dalam kesemua 10 percubaan dalam perlawanan terakhirnya bersama Golden State – kekalahan play-in di Sacramento – dia bangkit dengan empat jaringan tiga mata dalam suku kedua yang menyaksikan Dallas mengutip 44 mata.
Persembahan hambar itu menyaksikan perlawanan memihak sepenuhnya kepada Mavericks dan memberi harapan buat musim mereka yang bergolak untuk berterusan sekurang-kurangnya satu perlawanan.
“Sifat manusia, apabila awda akhiri musim dengan keputusan yang hambar, awda mahu kembali dan buktikan kepada orang ramai bahawa mereka silap,” kata Thompson. “Tetapi saya rasa saya memulakan permainan dengan baik – cuba membantu melalui hantaran, rebutan dan pertahanan. Selepas itu barulah jaringan datang kepada saya.”
Dallas akan bertemu Memphis pada malam Jumaat untuk merebut peluang ke playoff sebagai pilihan kelapan di Western Conference. Pemenang perlawanan itu akan membuka kempen playoff pada Ahad menentang pasukan pilihan utama, Oklahoma City.

Bagi pasukan Kings pula, tidak lama selepas perlawanan tamat, pasukan itu dan pengurus besarnya, Monte McNair, bersetuju untuk berpisah. Menurut sumber terdekat, kedua-dua pihak mencapai persetujuan secara bersama. Sumber itu bercakap tanpa memberikan nama kerana tiada pengumuman rasmi daripada pasukan pada ketika itu.
Musim Mavericks penuh dengan cabaran selepas menukar bintang muda Luka Doncic ke Los Angeles Lakers dalam satu pertukaran besar yang membawa Anthony Davis ke Dallas, sekali gus mencetuskan kemarahan penyokong terhadap pihak pengurusan.
Dallas memulakan suku kedua dengan 20-6 hasil dua jaringan tiga mata berturut-turut daripada Thompson. Dia menambah dua lagi jaringan tiga mata, membawa kelebihan Dallas kepada 23 mata pada separuh masa dan melenyapkan sebarang unsur dramatik dalam permainan.
DeMar DeRozan menjaringkan 33 mata untuk Kings, manakala Zach LaVine menambah 20 mata. – AP