Pelakon Mawar Rashid, 29, enggan terus membahaskan mengenai bekas suami, Raf Yaakob, 39, selepas bercerai kerana bimbang akan menimbulkan salah faham antara mereka.
Mawar atau nama sebenar, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid berkata, fokus mereka untuk membesarkan anak-anak demi masa depan lebih baik, lapor BH Online.
“Buat masa ini, kami cuba yang terbaik. Itu sahaja yang saya boleh cakap. Sebab kalau saya hendak bercakap mengenai bekas suami, saya takut boleh menjadi punca atau permasalahan lain.
“Apa yang berlaku antara saya dan bekas suami, saya cuba elakkan sebab ada anak-anak yang masih kecil. Bekas suami juga masih bapa kepada mereka.
“Jadi, saya cuba elak apa-apa yang tidak baik,” katanya ditemui pada sidang media dan tayangan eksklusif drama terbaharu, Bara Jiwa terbitan Unifi TV di Setia City Mall, kelmarin.

Tambah Mawar, dia dan Raf tetap berkomunikasi dalam perkara berkaitan anak-anak.
“Kami sentiasa berkomunikasi mengenai anak-anak dan keutamaan kami untuk membesarkan mereka. Kami perlu pastikan mereka okay.
“Saya dan bekas suami akan terus pastikan yang terbaik untuk anak-anak. Kami akan kongsi urusan dengan anak-anak bersama sebab mahu pastikan mereka dapat menjalani cara hidup sama,” katanya.
Terdahulu, Mawar mendirikan rumah tangga bersama Raf atau atau nama sebenarnya, Raden Ahmad Faizal Yaakob pada 9 November 2017. Bagaimanapun, mereka berpisah pada November tahun lalu.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, Raden Muhammad, 5, Raden Seri Rosabella Cinta, 3 dan Raden Seri Riyanna Sayang, 1.
Mengulas keadaannya ketika ini, Mawar berkata, dia masih mencuba untuk menyesuaikan diri, selain menganggap ujian dilalui adalah penguat semangat. – Agensi

