Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mawar pilih kunci mulut isu cerai

    Selepas sah bercerai dengan Raf Yaakob November tahun lalu, pelakon dan usahawan Malaysia, Mawar Rashid semakin gembira dengan kehidupan baharunya sebagai ibu tunggal.

    Memetik laporan mStar, Mawar atau Wan Mawar Shaputri Wan Abdul, 29, turut menganggap fasa kehidupan kini sebagai ‘gelas kosong’ membawa gambaran dirinya yang baru.

    “Apa yang boleh saya cakap, saya gembira dan bersyukur dengan peluang yang saya terima sekarang. Saya juga bersyukur menerima sokongan daripada peminat.

    “Ini adalah fasa baru dalam hidup saya, ini adalah diri saya yang baru. Semuanya baru, saya anggap diri saya seperti gelas kosong,” katanya kepada mstar.

    Mawar berkata perkara itu ketika majlis doa selamat dan sidang media filem Jangan Pandang Belakang 2 yang diadakan kelmarin.

    Malah tambah Mawar, beliau juga enggan berkongsi perihal peribadinya kepada umum kerana tidak mahu anak-anak mengetahui perkara itu.

    “Saya berpegang dengan prinsip saya untuk tidak berkongsi isu peribadi pada umum. Sebab saya ada anak-anak.

    “Nanti mereka besar, akan baca perkara yang tak sepatutnya,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Mawar turut berkongsi mengenai keadaan kesihatannya yang kini semakin baik malah tidak lagi mengalami serangan panik.

    “Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik. Tiada lagi mengalami serangan panik. Walaupun ada beberapa dugaan besar dalam hidup saya, tapi saya kini lebih gembira,” ujarnya.

    Mawar berkata, meskipun bercerai, hubungannya dengan bekas suami juga dalam keadaan baik.

    Aktres itu berkata beliau juga masih belum terbuka untuk mendekati lelaki lain memandangkan hanya ingin memberikan fokus kepada anak-anak.

    “Belum ke arah itu sebab sekarang fokus kepada anak-anak. Hubungan dengan bekas suami pun Alhamdulillah masih baik,” katanya.

    Sebelum ini Mawar mengesahkan sudah bercerai dengan adik kepada chef selebriti Datuk Fazley Yaakob pada November tahun lalu disebabkan sudah tiada persefahaman.

    Untuk rekod, Mawar dan Raf disatukan sebagai suami isteri pada 2017.

    Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta, 2, dan Raden Seri Riyanna Sayang, 10 bulan. – Agensi

    Mawar Rashid mengatakan bahawa beliau semakin bahagia selepas berpisah. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda