Mawar Rashid kini berhijab

Dua bulan mengikuti kelas agama di Kelantan, Mawar Rashid akhirnya beroleh kekuatan untuk kekal berhijab sejak Khamis lalu, iaitu ketika umat Islam menyambut Maal Hijrah.

Sejak Ramadan lalu, Mawar mula membiasakan diri bertudung, namun, ketika itu, hatinya masih berbolak-balik dan belum bersedia.

Menceritakan pengalaman dilalui, Mawar yang mengumumkan dirinya berhijab melalui entri di Instagram (IG) memberitahu, keputusan yang dibuat pada tahun baharu kalendar Islam itu, cukup simbolik dan bermakna.

“Hendak dijadikan cerita, Allah lorongkan saya menyertai kelas agama. Setiap bulan saya pulang ke Kelantan untuk menimba ilmu agama. Saya belajar dengan salah seorang guru di sana.

“Sekembalinya ke Kuala Lumpur pada 17 Ogos lalu, tanpa berfikir panjang, saya mencapai tudung dan memakainya. Alhamdulillah, pada sambutan Maal Hijrah (Khamis lalu), saya berniat betul-betul untuk terus istiqamah bertudung,” katanya kepada media.

Mawar Rashid akhirnya beroleh kekuatan untuk kekal berhijab sejak Khamis lalu, iaitu ketika umat Islam menyambut Maal Hijrah. – Agensi

Mawar atau nama penuhnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid berkata, dengan pengumuman itu, bermulalah pengembaraan baharu dalam hidupnya.

“Keputusan ini bagai episod permulaan di mana saya memulakan kembara baharu sebagai manusia biasa yang tidak pernah sempurna.

“Saya juga mahu mendapatkan keredaan Allah. Saya cintakan Allah dan Rasulullah SAW. Niat menutup aurat sudah lama… Impian saya hendak menjadi muslimah sejati.

“Namun, saya sedar terlalu banyak kekurangan dan kelemahan diri selama ini… Saya terlalu hina di mataNya,” katanya.

Menceritakan penghijrahannya itu, Mawar mengaku menangis setiap kali bersolat.

“Saya menangis kerana Allah sudah beri terlalu banyak nikmat dalam hidup. Namun, saya masih tidak menutup aurat dan beri pelbagai alasan,” katanya. – Agensi