Pelakon Mawar Rashid memberitahu hatinya pernah terdetik untuk menghilangkan diri dari dunia seni ketika berdepan dengan kemelut rumah tangga sebelum ini.
Kata Mawar atau Wan Mawar Shahputri Wan Abdul Rashid, 30, idea tersebut timbul kerana mahukan ruang bersendirian selepas mengumumkan perceraian dengan bekas suami, Raf Yaakob pada November tahun lalu.
“Jujur saya katakan saya pernah terfikir untuk hilangkan diri dari industri hiburan dan media sosial. Ketika itu saya perlukan masa untuk diri sendiri sahaja.
“Banyak faktor mendorong saya berfikir ke arah itu. Apa yang saya lalui adalah tentang kehidupan peribadi, jadi saya perlu rehat. Tambah pula dengan tekanan di media sosial.
“Saya juga mahu menjaga kesihatan mental. Sebab itulah terfikir untuk hilangkan diri. Saya ambil masa untuk bangkit semula,” katanya kepada mStar.
Mawar berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis tayangan trailer serta OST filem terbaharu lakonannya berjudul Jangan Pandang Belakang 2 yang berlangsung di GSC Starling Mall, Petaling Jaya kelmarin.
Bukan mudah melalui fasa hidup baharu bergelar ibu tunggal, menurut Mawar dia mengambil masa hampir enam bulan untuk betul-betul mendapatkan semula kekuatan diri.
Tambahnya anak-anak juga menjadi semangat untuk dia bangkit dan kembali meneruskan kerjaya dalam dunia seni. – Agensi