Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Dalam menyemarakkan lagi bulan suci Ramadan, Persatuan Membangun Wanita dan Masyarakat (MAWAR) turut tidak ketinggalan mengadakan program perkongsian khas bertajuk Berbagi dengan Ibu-ibu Tunggal Bersama Mawar di Bulan Ramadan!, baru-baru ini.
Sesi perkongsian yang diadakan di Dewan Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis, Madang, itu telah disampaikan oleh Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Dayang Siti Hurul-Ain Diyana binti Haji Abdul Majid @ Viean.
Ia antara lain bertujuan untuk menginspirasikan para peserta yang hadir agar menghayati ciri-ciri wanita-wanita syurga.
Melalui perbincangan yang menyentuh hati dan muhasabah diri, peserta menjelajahi kepentingan yang mendalam bagi mempersiapkan diri menjadi wanita syurga, terutamanya semasa bulan Ramadan yang mulia.
Dengan asas program berkenaan, kempen sesi pengumpulan barangan asas keperluan dapur seperti beras, gula, minyak masak, telur, roti, dan sebagainya turut diadakan yang telah diurus dengan teliti oleh ahli-ahli dan sukarelawan Persatuan MAWAR.
Sumbangan berkenaan disalurkan secara langsung kepada ibu-ibu tunggal yang dihasratkan dapat meringankan beban mereka dalam bulan Ramadan. Tempoh pelaksanaan kempen berkenaan telah berjalan pada 25 sehingga 29 Mac lalu di dewan masjid tersebut.
Selepas sesi perkongsian, para peserta berkumpul untuk majlis iftar bersama-sama.



