SYDNEY, 29 APRIL – Juara beregu Grand Slam dua kali, Max Purcell, telah menerima hukuman penggantungan selama 18 bulan selepas melanggar peraturan antidoping, menurut Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA) hari ini.
Pemain dari Australia itu mengaku bersalah melanggar peraturan berkaitan penggunaan ‘kaedah terlarang’ apabila secara tidak sedar menerima infusi vitamin secara intravena melebihi had yang dibenarkan, iaitu 100 mililiter dalam tempoh 12 jam. Beliau juga telah dikenakan penggantungan sementara sejak pertengahan Disember.
Purcell menyatakan bahawa dia telah memaklumkan kepada klinik berkenaan bahawa dia adalah seorang atlet profesional dan bahawa infusi yang diberikan perlu kurang daripada 100 mililiter.
Menurut ITIA, pemain berusia 27 tahun itu sebenarnya telah menerima infusi intravena melebihi 500 mililiter sebanyak dua kali. Namun, kerjasama penuh dan keterbukaannya dalam berkongsi maklumat semasa siasatan membolehkan pengurangannya sebanyak 25 peratus ke atas tempoh penggantungan.
“Kes ini tidak melibatkan pemain yang didapati positif menggunakan bahan terlarang, tetapi menunjukkan bahawa peraturan antidoping adalah lebih luas daripada itu,” kata Ketua Eksekutif ITIA, Karen Moorhouse.
“Ia juga membuktikan bahawa ITIA mempertimbangkan maklumat daripada pelbagai sumber dengan matlamat utama untuk melindungi semua yang diliputi oleh peraturan antidoping tenis dan memastikan padang permainan yang adil untuk semua.”
Purcell turut meluahkan bahawa tekanan daripada kes berkenaan telah memberi kesan serius terhadap kualiti hidupnya sejak beberapa bulan kebelakangan ini. – AP
