LONDON, 27 Feb – Perdana Menteri Theresa May hari ini akan berdepan undian ahli-ahli parlimen berhubung dengan strategi Brexit baharunya yang membolehkan mereka untuk meluluskan penangguhan pengunduran Britain.
Pemimpin tersebut akan meminta para penggubal undang-undang untuk meluluskan pelan tiga langkah yang diwujudkan kelmarin yang akan memberikannya lebih banyak masa untuk mengusahakan semula draf perjanjian pengunduran yang dicapai bersama Kesatuan Eropah (EU).
Di bawah pelan baharu itu, jika beliau gagal untuk mewujudkan perjanjian Brexit yang mendapat sokongan ahli-ahli parlimen menjelang 12 Mac, May dengan segera akan mengadakan undian mengenai apa yang akan dibuat selepas itu termasuk Britain meninggalkan blok tanpa perjanjian atau menangguhkan Brexit.
“Di sini saya menjelaskan, saya tidak mahu melihat Artikel 50 dilanjutkan,” beritahu May kepada ahli-ahli parlimen kelmarin.
“Fokus utama kami adalah untuk meraih perjanjian dan berundur pada 29 Mac.

“Dewan Rakyat perlu bekerjasama dan memberikan kenyataan yang jelas bahawa majoriti yang stabil menyokong berundur daripada EU dengan perjanjian.”
Perdana menteri Britain yang mencapai persetujuan dengan para pemimpin Eropah tahun lalu tetapi berdepan penolakan daripada penggubal undang-undang Britain pada Januari lalu, berulang kali menafikan mengenai penangguhan Brexit.
Tetapi pada minggu ini, beliau membuat ‘pusingan-U’ ekoran ancaman peletakan jawatan beramai-ramai daripada menterinya sendiri, yang bimbang Britain berundur dari EU tanpa perjanjian pada 29 Mac nanti.
Pihak kerajaan telah mengeluarkan penilaian yang telah dikemas kini kelmarin berhubung dengan persediaan apabila berdepan senario tersebut di mana kebanyakan sektor perniagaan tidak bersedia dengan rejim perdagangan baharu.
Ia juga memberi amaran bahawa harga makanan berkemungkinan besar akan naik terutama sekali buah-buahan dan sayur segar dan ini boleh menyebabkan atau mencetuskan kekurangan bekalan. – AFP