Pelakon Malaysia Maya Karin, 45, masih belum bersedia mengambil tawaran membintangi drama bersiri.
Menurut BH Online, pelakon kacukan Melayu-Jerman itu berkata, dia akan berlakon drama sekiranya ditawarkan naskhah dengan genre penyiasatan jenayah atau Crime Scene Investigation (CSI).
“Memang ada tawaran drama, tapi saya belum bersedia lagi. Saya bergantung kepada naskhah cerita, pengarah dan rakan pelakon lain.
“Tapi, saya sebenarnya peminat drama pembunuhan misteri dan penyiasatan seperti CSI yang bila kita tonton sentiasa akan meneka untuk cari siapa pelaku sebenarnya.
“Tapi dalam industri, genre berkenaan masih belum dikembangkan lagi. Mungkin disebabkan bajet atau lebih senang untuk buat cerita cinta pasangan kekasih,” katanya ditemui pada sesi fotografi bagi mempromosikan filem terbaharu lakonannya, Telaga Suriram di Studio NSTP, Balai Berita di sini, baru-baru ini.
Mengulas kekurangan drama CSI di Malaysia, Maya yang juga penyanyi berkata, masalah utama menyelubungi pembikin filem adalah bajet.
“Di Malaysia, masalah utama adalah kekurangan bajet dan kreativiti kerana sesiapa yang menulis naskhah sebegitu perlu dibayar setimpal.
“Selain itu, kita juga perlu sentiasa cari idea untuk hasilkan jalan cerita yang kreatif.
“Ini umpama drama seperti Juvana dan Nur Kasih dulu yang sentiasa orang tunggu setiap minggu dengan ‘rating’ lebih empat juta setiap episod,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Maya muncul dengan watak Rohaya dalam filem terbaharu arahan Osman Ali, Telaga Suriram yang berkisar pembunuhan misteri.
Selain Maya, Telaga Suriram yang ditayang di pawagam seluruh negara pada Mei depan turut dibintangi Farid Kamil, Ellie Suriaty Omar, Nabila Huda, Scha Alyahya dan ramai lagi. – Agensi
