Maya Karin terima ‘lamaran’ Ghaz kerana Khir Rahman

Bakat lakonan Maya Karin dalam menjayakan apa sahaja watak sudah tidak perlu dipersoalkan lagi.

Maya, 41, yang bakal muncul dengan filem terbaharunya berjudul Bulan & Pria Terhebat ini mengakui hampir menolak tawaran berkenaan. Perkara itu disebabkan dia tidak pernah bekerjasama dengan pengarah Ghaz Abu Bakar dan barisan pelakon lain dalam filem berkenaan.

“Pada awalnya, memang saya rasa ragu-ragu nak terima tawaran itu. Sebab tak pernah lagi bekerjasama dengan pengarah dan barisan pelakon filem itu.

“Saya pula jenis kalau hati tak rasa seratus peratus, saya akan tolak tawaran. Sebab kalau nak lakukan, saya kena beri segala-galanya.

“Tapi bila difikirkan semula saya tak pernah buat filem aksi, ia sesuatu yang baharu dan bagus untuk kerjaya saya, selain watak sangat menarik,” ujarnya.

Bagaimanapun, Maya berkata, salah satu sebab dia menerima tawaran itu kerana ingin berlakon bersama Khir Rahman.

“Salah satu sebab terbesar saya terima tawaran itu juga adalah disebabkan Khir Rahman. Bila lagi nak dapat berlakon dengan dia yang merupakan seorang pelakon hebat,” katanya kepada media. Selain Maya Karin dan Khir Rahman, filem itu turut dibintangi oleh Zahirah MacWilson, Zizan Razak, Bell Ngasri dan Aliff Hadi. Filem aksi yang mengetengah hero wanita itu akan mula ditayangkan pada 12 Mac depan. – Agensi

Maya Karin membintangi filem Bulan & Pria Terhebat yang bakal ditayangkan pada 12 Mac depan. – Agensi