KANGAR, 3 JAN – Polis menahan seorang pembantu rumah warga Indonesia bagi membantu siasatan kes penemuan mayat anak damit lelaki yang ditanam di belakang rumah jiran majikannya, di Taman Mutiara pada 30 Disember lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Baeyah Abdul Wahab berkata tangkapan ke atas wanita berusia 28 tahun itu, dibuat dalam serbuan di rumah majikannya pada pukul 2:20 petang 30 Disember selepas menerima laporan orang awam berkaitan penemuan satu mayat anak damit lelaki di kawasan belakang rumah itu pada pukul 11:01 pagi, hari sama.
“Siasatan awal mendapati, anak damit lelaki yang ditemukan tertanam pada kedalaman lima inci dan kawasan tersebut juga merupakan tempat terbuka dan tidak berpagar.
“Anak damit ditemukan dengan masih bertali pusat dan beruri dengan dibalut kain berwarna putih. Anak damit lelaki ini ditanam di belakang rumah jiran sebelah rumah majikannya,” katanya kepada pemberita hari ini. – Bernama
