‘Mayat’ di bukit kejutkan orang ramai

BANDAR SERI BEGAWAN, 2012 – Sekali pandang seolah-olah bagaikan tubuh terbujur yang sudah siap dikafankan ditambah lagi ia dibalut dengan benda berwarna putih dan ikatan seakan-akan mayat sehingga membuatkan pemberita Media Permata terkejut apabila terpandangnya buat pertama kali.

Benda pelik itu turut mengejutkan pengunjung sebuah pasar raya kawasan berkenaan apabila mula-mula menyangka ia adalah mayat hasil perbuatan orang yang tidak bertanggungjawab dengan niat yang tidak baik, sehinggakan ia menjadi sensasi Facebook.

Dalam tinjauan Media Permata ke tempat berkenaan, benda itu diletakkan di lereng bukit berdekatan kawasan letak kereta pasar raya berkenaan.

Setelah didekati dan diamati, ia adalah tiga guni makanan ayam yang disusun secara melintang di bawah timbunan batang kayu dipacakkan di tepinya bagi mengelakkan guni-guni berkenaan jatuh bergolek menuruni bukit tempat ia diletakkan.

Ketika menaiki bukit berkenaan untuk mendekati guni-guni umpama mayat yang sudah dikapankan itu, wartawan Media Permata menghadapi sedikit kesukaran akibat tanahnya yang becak dan licin sehingga hampir-hampir tergelincir.

Apabila menyentuh guni-guni berkenaan pula bagi merasi isi kandungannya, guni-guni itu tidak keras, seolah-olah sekadar diisi dengan daunan-daunan kering, ranting-ranting kayu yang sudah dipatahkan dan habuk-habuk kayu.

Pada pengamatan wartawan, susunan batang-batang kayu di atas guni-guni berkenaan serta batang-batang kayu yang dipacakkan itu, berkemungkinan dibina sebagai ‘empangan’ bagi menghadang tanah susur daripada berlaku.