Wednesday, July 16, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mayat di Mekong adalah aktivis

    BANGKOK, 23 Jan – Mayat dua lelaki yang telah dicacatkan dan ditemui disumbatkan dalam konkrit di Sungai Mekong pada bulan lalu telah dikenal pasti sebagai aktivis Thailand yang hidup dalam buangan, pihak polis dan keluarga mengesahkan semalam.

    Kedua-dua mereka adalah antara berpuluh-puluh aktivis anti pemerintahan beraja yang lari meninggalkan Thailand menuju negara komunis Laos selepas rampasan kuasa 2014 oleh pihak junta yang setia kepada raja.

    Surachai Sae-Dan, pengkritik terkenal pemerintahan beraja dan junta Thailand dilaporkan hilang pada 12 Disember bersama penolongnya, Kraidej Luelert dan seorang lagi lelaki yang hanya dikenali sebagai ‘Comrade Phuchana’.

    Lewat bulan itu, dua mayat ditemui terapung-apung di sungai berkenaan di timur laut Thailand dengan muka mereka cacat teruk dan isi perut mereka dikeluarkan dan diasak dalam blok-blok konkrit.

    Ujian forensik DNA membuat kesimpulan bahawa peluang ’99.95 peratus’ salah satu mayat itu adalah Kraidej selepas analisis perbandingan dengan anak lelakinya, menurut ketua polis daerah, Kiattipoom Suwannatrai.

    Anak lelaki Phuchana berkata jabatan forensik di Bangkok mengesahkan ayahnya adalah mangsa yang satu lagi, manakala sumber lain polis yang merahsiakan identitinya disebabkan kesensitifan kes ini memberitahu AFP mayat kedua adalah mayat Phuchana. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda