MADRID, 14 SEPT – Pasukan bomba Sepanyol telah menemui mayat seorang lelaki hari ini, ketika mereka membersihkan runtuhan sebuah bar di Madrid yang musnah akibat letupan.
Insiden itu turut mengakibatkan 25 orang cedera, termasuk dua dalam keadaan serius.
Kebocoran gas disyaki menjadi punca letupan kelmarin, di kawasan Vallecas, bandar negara itu, namun pihak berkuasa bandar berkata masih terlalu awal untuk menentukan punca sebenar.
Bomba yang dibantu anjing pengesan dengan teliti membersihkan runtuhan secara manual di tingkat bawah di tengah-tengah dinding dan rangka yang runtuh.
“Kerja ini agak rumit dan memerlukan ramai kakitangan kerana perlu membersihkan setiap batu bata secara satu persatu,” kata jurucakap perkhidmatan bomba, Javier Ramos.
Perkhidmatan kecemasan Madrid mengesahkan di X, mayat seorang lelaki ditemui awal pagi hari ini, dengan seorang pakar psikologi perlindungan awam memberikan sokongan kepada keluarga.
Mereka juga berkata, 25 orang yang tercedera telah menerima rawatan, dengan dua daripadanya berada dalam keadaan ‘kritikal’ dan dibawa ke hospital. – AFP


