Sunday, September 15, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mayat dikeluarkan dari terowong kereta api runtuh

    BANGKOK, 30 OGOS – Mayat tiga pekerja asing yang terperangkap selama berhari-hari dalam terowong kereta api di timur laut Thailand yang runtuh semasa pembinaan telah dikeluarkan selepas usaha menyelamat intensif, kata pegawai-pegawai Thailand hari ini.

    Terowong itu adalah sebahagian daripada projek kereta api laju Thai-China yang menghubungkan ibu negara Bangkok ke wilayah timur laut Nong Khai, bersempadan dengan Laos.

    Sebahagian daripadanya runtuh pada malam Sabtu lalu ketika tiga pekerja asing, seorang dari Myanmar dan dua dari China, berada di dalam. Terowong itu terletak di wilayah Nakhon Ratchasima, 250 kilometer timur laut Bangkok.

    Siasatan mengenai kemalangan itu sedang dijalankan, tetapi media Thailand melaporkan bahawa Timbalan Menteri Pengangkutan, Surapong Piyachote berkata pada Isnin bahawa tanah di atas terowong itu telah menjadi amat berat disebabkan hujan selama berhari-hari.

    Mayat seorang pekerja, pemandu trak dari Myanmar, ditemui kelmarin dan dua lagi pada hari ini, kata Menteri Dalam Negeri, Anutin Charnvirakul kepada media.

    Beliau berkata kedua-dua mangsa warga China adalah seorang penyelia dan pengendali jentera pengorek kaut.

    Bedah siasat yang dijalankan di hospital wilayah akan memastikan punca kematian, katanya.

    “Hasil siasatan awal menunjukkan mangsa pertama yang kami temui semalam meninggal dunia akibat sesak nafas,” kata Anutin.

    Operasi menyelamat selama 126 jam itu diketuai oleh State Railway of Thailand dan pasukan penyelamat dari China, yang tiba di tempat kejadian pada Selasa. – AP

    Dalam gambar yang dikeluarkan oleh State Railway of Thailand menunjukkan para penyelamat bekerja pada 29 Ogos di tempat kejadian terowong runtuh di wilayah Nakhon Ratchasima. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda