CONNECTICUT, 15 OKT – Seorang wanita bersama teman lelakinya dan adiknya telah didakwa atas kematian seorang anak perempuan yang berusia 12 tahun, selepas mayat kanak-kanak itu ditemui dalam sebuah bekas simpanan di luar sebuah rumah terbiar di Connecticut minggu lalu.
Seorang hakim mengekalkan jumlah ikat jamin Karla Garcia sebanyak AS$5 juta dalam satu prosiding ringkas kelmarin, di mana wanita itu dilihat menangis ketika pendakwa membacakan pertuduhan terhadapnya.
Wanita berusia 29 tahun dari New Britain itu berdepan pelbagai pertuduhan termasuk membunuh dengan keadaan khas dan bersubahat.
Tiada pengakuan direkodkan ketika sesi tersebut, dan dia diwakili oleh peguam bela awam.
Pertuduhan itu berpunca daripada kematian Jacqueline ‘Mimi’ Torres Garcia, yang menurut pihak berkuasa mengalami “penderaan fizikal berpanjangan dan kekurangan zat makanan” sebelum dibunuh pada musim luruh tahun lalu.
Polis menemui mayat mangsa pada Rabu lalu dalam sebuah tong di belakang rumah terbiar selepas menerima laporan aktiviti mencurigakan di lokasi tersebut.
Karla Garcia dan adiknya, Jackelyn Garcia, 28, dari New Britain, ditahan pada Ahad.
Manakala, teman lelaki Karla, Jonatan Nanita, 30, yang dipercayai pihak berkuasa sebagai individu yang dilihat meninggalkan beberapa barangan dan bekasn penyimpanan besar di rumah berkenaan, tindakan yang mencetuskan panggilan kecemasan 911 minggu lalu, telah ditahan pada malam Isnin.
Nanita turut berdepan pertuduhan membunuh dengan keadaan khas dan bersekongkol, manakala Jackelyn Garcia dituduh menahan secara haram, membahayakan kanak-kanak, serta melakukan kekejaman sengaja terhadap individu bawah umur 19 tahun.
Ikat jamin Jackelyn ditetapkan sebanyak AS$1 juta manakala Nanita dikenakan jaminan AS$5 juta. Kedua-duanya tidak membuat sebarang pengakuan ketika prosiding tersebut.
Ketiga-tiga suspek dijadualkan hadir semula ke mahkamah pada 14 November.
Dalam sidang media Isnin lalu, Ketua Polis New Britain, Matt Marino berkata, pihaknya menemui mayat kanak-kanak itu sudah dalam keadaan reput.
Pihak berkuasa masih menyiasat bila dan di mana kematian berlaku, namun mereka percaya mangsa mungkin telah meninggal dunia sejak musim luruh 2024 ketika keluarganya tinggal di bandar Farmington.
Menurut Ketua Polis Farmington, Paul Melanson, siasatan mendapati mayat Jacqueline disimpan di ruang bawah tanah rumah keluarga itu sebelum mereka berpindah ke New Britain.
Butiran lanjut mengenai kes ini masih dirahsiakan kerana siasatan dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk diselesaikan. – AP


