Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mayat ketujuh nahas bas Sepanyol ditemui

    MADRID, 26 DIS – Pasukan penyelamat menemui mayat seorang wanita di wilayah Galicia barat laut Sepanyol hari ini, meningkatkan mangsa korban kepada tujuh selepas sebuah bas terjunam ke dalam sungai pada malam Krismas, kata polis.

    Kemalangan itu berlaku pada Sabtu ketika bas itu melintasi jambatan di atas sungai Lerez berhampiran kampung Pedre kira-kira 50 kilometer ke selatan Santiago de Compostela.

    Akhbar La Voz de Galicia serantau berkata bas itu telah terjunam daripada ketinggian hampir 30 meter ke dalam sungai.

    Pasukan penyelamat menemukan dua mangsa yang terselamat – pemandu dan seorang penumpang wanita – dan menemui enam mayat dalam pencarian yang berterusan sehingga Hari Krismas, menyelesaikan usaha menyelamat pada waktu petang selepas percaya bahawa semua orang sudah ditemui.

    Tetapi pada pagi ini, mereka meneruskan lagi pencarian selepas penumpang yang terselamat berkata rakannya tiada dalam senarai mangsa, kata jurucakap polis Guardia Civil.

    Sebuah bas terdampar di sungai selepas terlibat kemalangan dekat Pontevedra di Sepanyol pada 26 Disember. – AP

    “Apabila wanita yang cedera itu dapat bercakap, dia memberitahu kami dia telah melancong bersama seorang rakan dan mereka sepatutnya makan malam bersama,” katanya. Wanita itu tidak dilaporkan hilang kerana tiada siapa yang menunggunya, katanya.

    “Kami meneruskan pencarian hari ini dan helikopter itu melihat mayatnya di dalam sungai,” katanya kepada AFP, sambil berkata usaha sedang dijalankan untuk mengeluarkan mayatnya.

    “Secara teorinya, tidak sepatutnya ada lagi yang hilang.”

    Laporan kecemasan pada mulanya dimaklumkan oleh pemandu yang lalu lalang yang menyedari sebahagian daripada pengadang keselamatan di jambatan itu telah hilang, sambil dia memberitahu perkhidmatan kecemasan dikhuatiri berlaku kemalangan.

    Pasukan penyelamat kemudian menerima panggilan daripada bas, yang membantu mereka mencari bangkai bas tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda