Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mayat lelaki ditemui setelah hilang selama 28 tahun

    KHAPLU/PAKISTAN, 7 OGOS –  Mayat seorang lelaki yang telah dilaporkan hilang selama 28 tahun telah ditemui di sebuah glasier yang mencair di Pakistan.

    Mayat Nasiruddin, 31, ditemui oleh penduduk tempatan berhampiran tepi glasier Lady Meadows yang semakin mengecil di wilayah Kohistan, terletak dalam wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

    Menurut keluarganya, Nasiruddin dan abangnya telah melarikan diri ke kawasan pergunungan selepas berlaku pertikaian di kampung mereka pada tahun 1997, namun, Nasiruddin telah terjatuh ke dalam rekahan glasier dan gagal diselamatkan, manakala abangnya selamat.

    “Keluarga kami telah berusaha sedaya upaya mencarinya selama bertahun-tahun,” kata Malik Ubaid, anak saudara kepada si mati, kepada AFP menerusi panggilan telefon.

    Tambahnya, “Pakcik dan sepupu saya telah berulang kali ke kawasan glasier itu untuk mencuba mengambil mayatnya, tetapi akhirnya mereka terpaksa berputus asa kerana tidak berjaya.”

    Nasiruddin, yang hanya dikenali dengan satu nama, merupakan seorang suami dan bapa kepada dua orang anak.

    Mayatnya yang masih terpelihara dengan baik – lengkap dengan kad pengenalan – ditemui oleh seorang penggembala tempatan pada 31 Julai dan telah dikebumikan pada Rabu lalu.

    “Akhirnya, kami rasa sedikit lega selepas mayatnya berjaya ditemukan,” kata Ubaid.

    Kohistan merupakan kawasan pergunungan yang terletak di pinggiran banjaran Himalaya.

    Pakistan mempunyai lebih daripada 13,000 glasier – jumlah tertinggi di dunia selain kawasan kutub.

    Namun, peningkatan suhu global akibat perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia menyebabkan glasier-glasier ini mencair dengan pantas.  – AFP

    Kad pengenalan yang dijumpai bersama mayat mangsa, di wilayah Kohistan, Khyber Pakhtunkhwa pada 7 Ogos. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda