Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mayat lelaki Sepanyol ditemukan selepas 15 tahun

    MADRID, 14 OKT – Mayat seorang lelaki yang dipercayai meninggal dunia selama kira-kira 15 tahun ditemukan di sebuah pangsapuri di Bandar Valencia, Sepanyol, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Penemuan mengerikan itu berlaku di kawasan kejiranan La Fuensanta apabila anggota bomba dan polis memasuki unit tingkat enam bangunan pangsapuri melalui tingkap, bagi menyiasat banjir akibat hujan lebat, menurut laporan stesen TV RTVE dan Antena 3 kelmarin.

    Siasatan awal pihak berkuasa mendapati lelaki itu dikenali sebagai Antonio, dipercayai meninggal dunia pada 2010, pada usia 70 atau 71 tahun.

    Mayat yang mengalami pemumiaan itu ditemui berpakaian lengkap di bilik tidur, dikelilingi burung merpati, bangkai merpati, serangga dan longgokan sampah. Pintu pangsapuri itu dikunci dari dalam dan tiada tanda jenayah dikesan.

    Polis Kebangsaan Sepanyol percaya kematian berlaku secara semula jadi, namun bedah siasat akan dilakukan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

    Jiran amat terkejut apabila menyedari mereka hidup serumah pangsapuri dengan mayat selama 15 tahun. Mereka yang mengenalinya menggambarkan Antonio sebagai seorang yang menyendiri dan tidak bersosial. Dia tinggal berasingan daripada keluarganya dan jarang berinteraksi dengan masyarakat setempat. – Bernama

    Kawasan kejiranan La Fuensanta dipercayai tempat penemuan mayat lelaki Sepanyol yang diduga sudah meninggal dunia selama 15 tahun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda