Monday, October 21, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mayat lima mangsa bot regata karam di Sungai Sarawak ditemukan

    KUCHING, 20 OKT – Mayat kelima-lima mangsa yang terlibat dalam insiden bot regata karam semasa sesi latihan di Sungai Sarawak berhampiran Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa Jumaat lepas telah ditemukan pagi ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan bahawa kesemua mangsa ditemukan secara berperingkat antara pukul 6:16 pagi hingga 7:09 pagi tadi.

    “Kelima-lima mangsa telah dijumpai dan kini menunggu pengesahan daripada pihak polis serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

    “Dua mangsa ditemukan pada pukul 6:16 pagi, seorang lagi pada 6:40 pagi, Sarawak Coastguard menemukan lagi seorang pada 7:07 pagi, manakala mangsa terakhir ditemukan pada 7:09 pagi dengan bantuan dron,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan dalam sidang media penamatan operasi SAR bahawa kesemua mayat yang ditemukan adalah individu yang dilaporkan hilang dalam insiden bot regata karam.

    Beliau berkata kesemua mangsa dijumpai kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi kejadian dan proses pengecaman mayat oleh ahli keluarga telah selesai di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada pukul 9 pagi tadi.

    “Proses pengecaman dilakukan oleh bapa kepada dua mangsa, dua lagi mangsa dicam oleh isteri mereka, manakala satu lagi oleh ibu. Operasi SAR secara rasmi tamat pada pukul 10 pagi tadi,” katanya.

    “Seterusnya, proses bedah siasat akan dilakukan oleh Jabatan Forensik HUS. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda