Sunday, May 4, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mayat mangsa lemas di Pantai Meragang ditemui

    Oleh Siti Nur Wasimah S. & Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Mayat kedua-dua mangsa lemas di Pantai Meragang telah ditemui hari ini.

    Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), mayat salah seorang mangsa telah ditemui oleh anggota bomba dan anggota Cawangan Marin Pasukan Polis Diraja Brunei (POLMAR) pada jam 6:37 pagi tadi, kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian.

    Manakala Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) pula melaporkan mayat mangsa kedua berusia 20 tahun pula telah ditemui selepas 28 jam operasi di kawasan pantai antara Tanjung Batu dan Pantai Meragang pada jam 9:41 malam.

    Mayat mangsa telah diserahkan kepada PDB dan dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bagi siasatan lanjut.

    Operasi mencari dan menyelamat turut menerima bantuan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei menggunakan sebuah helikopter dan Bomba Syarikat Minyak Brunei Shell serta melibatkan lima buah jet ski daripada Persatuan Lumba Jet Ski Brunei.

    Gerakan mencari dan menyelamat mangsa lemas dekat Pantai Meragang.

    Dalam kejadian petang kelmarin, dua lelaki masing-masing berusia 20 dan 16 tahun dilaporkan lemas semasa berenang di kawasan pantai berkenaan.

    JBP melaporkan pihak mereka telah menerima panggilan pada jam 5:09 petang dan telah mengerahkan 37 orang anggota dari Balai Bomba Muara dan Unit Penyelam JBP ke tempat kejadian dengan diketuai oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘A’, SSFR Yudieswandy bin Haji Bakar.

    Apabila tiba di tempat kejadian, pihak bomba dimaklumkan oleh saksi yang mengatakan dua orang rakannya dipercayai telah lemas. Cuaca pada masa itu hujan lebat dan keadaan laut berombak kuat.

    JBP menyarankan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti di air atau pantai kerana cuaca pada masa ini tidak menentu mengakibatkan laut bergelora dan arus deras.

    Orang ramai juga dinasihati agar sentiasa mengetahui keadaan cuaca dari semasa ke semasa untuk keselamatan semua.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda