Mayat nelayan ditemukan terdampar di pantai

SIBU, 14 JUN – Mayat salah seorang daripada dua nelayan yang hilang selepas perahu mereka karam di Tanjung Melambak, Belawai, kira-kira 107km ke barat dari sini semalam, ditemukan terdampar di pantai awal pagi ini.

Jurucakap dari Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata mayat Ibrahim Abang Resdi, 52, dijumpai terdampar di satu kawasan pantai kira-kira satu km dari lokasi kejadian sekitar pukul 6:44 pagi.

“Perahu yang dinaikinya bersama seorang lagi rakannya yang masih hilang, Elfika Ahmad, 29, juga telah dijumpai di kawasan berhampiran,” katanya menerusi mesej WhatsApp hari ini.

Menurutnya kedua-dua nelayan yang dilaporkan hilang kira-kira pukul 7:30 malam semalam itu
merupakan antara 22 orang nelayan yang menaiki 11 perahu yang kesemuanya karam selepas dipukul ombak kuat.

“Bagaimanapun, 20 orang nelayan lain berjaya menyelamatkan diri. Operasi akan diteruskan untuk mencari seorang lagi yang masih hilang,” katanya. – Bernama