ROM, 9 JAN – Pasukan penyelamat kelmarin menemui mayat seorang pendaki British yang hilang, tertimbus dalam salji di pergunungan Alps Itali, tetapi pencarian untuk rakannya terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk.
Pendaki berpengalaman Aziz Ziriat, 36, dan Sam Harris, 35, memulakan pendakian pada 1 Januari sebagai aktiviti sambutan Tahun Baharu di kawasan Adamello, Itali. Perkhidmatan Penyelamat Alps Itali menyatakan bahawa mereka menerima laporan mengenai kedua-dua lelaki itu pada 6 Januari setelah mereka gagal menaiki penerbangan pulang seperti yang dijadualkan.
Selepas dua hari dihalang oleh kabus, salji tebal dan amaran runtuhan salji, pasukan penyelamat yang menggunakan rekod lokasi telefon bimbit pendaki tersebut akhirnya sampai ke lokasi terakhir mereka yang direkodkan kelmarin. Mereka menemui mayat Harris yang tertimbus dalam salji di kaki runtuhan batu di bahagian selatan cerun Care Alto.
Pasukan penyelamat mengatakan kemungkinan besar dia terjatuh dari kawasan atas.
Pasukan penyelamat juga menemui beg galas milik kedua-dua lelaki itu serta beberapa peralatan pendakian mereka.
Media Britain memetik ahli keluarga dan pasangan kedua-dua pendaki tersebut yang menyatakan bahawa mereka merupakan pendaki berpengalaman dan merancang untuk mendaki dari pondok gunung ke pondok gunung. Keluarga mereka berkata kali terakhir mereka mendengar khabar dari pasangan itu adalah pada 1 Januari tetapi tidak merasa bimbang apabila tiada berita pada hari-hari berikutnya.
“Mereka adalah pendaki berpengalaman dan mereka pergi mendaki beberapa kali setahun. Tidak menghairankan jika mereka tiada isyarat telefon kerana mereka suka pergi ke tempat terpencil,” kata Joe Stone, rakan universiti, Ziriat. “Namun, tanda-tanda kebimbangan mula timbul apabila mereka tidak muncul untuk penerbangan mereka pada 6 Januari.” – AP