Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mayat terakhir kes kebakaran kilang bola golf ditemui

    TAIPEI, 24 SEPT – Pasukan pencari menemui mayat tiga orang terakhir yang hilang di lokasi kebakaran kilang bola golf di selatan Taiwan hari ini, menjadikan angka kematian kepada 10, menurut laporan media Taiwan.

    Launch Technologies, pengendali kilang itu, merupakan pembekal utama bola golf global.

    Empat daripada mangsa adalah anggota bomba. Agensi berita pusat Taiwan, yang memetik pegawai bomba Daerah Pingtung, berkata letupan menyebabkan sebahagian bangunan itu runtuh kira-kira jam 6:10 petang pada Jumaat, memerangkap anggota bomba dan pekerja di bawah runtuhan. Letupan kedua menyusul 20 minit kemudian.

    Dua mayat ditemui pagi hari ini dan mayat terakhir ditemui pada sebelah petang. Kira-kira 100 orang cedera dalam kebakaran di Taman Perindustrian Teknologi Pingtung. Kebakaran tidak dapat dipadamkan sehingga keesokan harinya. Punca kebakaran masih tidak jelas.

    Taiwan ialah pengeluar utama bola golf dengan kilang yang membekalkan jenama-jenama utama termasuk Callaway, TaylorMade, Bridgestone, Mizuno dan Wilson, menurut laporan tahunan 2021 Launch Technologies Co.

    Launch Technologies, yang disenaraikan di Bursa Taipei, menghantar kira-kira 260 juta bola golf tahun lalu, menyumbang satu perlima daripada jumlah global, lapor agensi berita pusat. Kira-kira 80 peratus daripada jualannya adalah di Amerika Syarikat.

    Kementerian Buruh kelmarin berkata ia akan membuka siasatan keselamatan pekerjaan terhadap Launch Technologies dan syarikat induknya. Kilang itu, yang terletak dalam zon pemprosesan eksport, pernah didenda sebelum ini kerana pelanggaran yang ditemui semasa pemeriksaan, kata agensi berita pusat.

    Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen melawat Daerah Pingtung kelmarin dan bertemu dengan mangsa dan keluarga mereka, lapor penyiar Taiwan, TVBS. – AP

    Dalam imej yang diambil daripada rakaman video yang dikendalikan oleh FTV ini menunjukkan orang ramai menyaksikan kebakaran kilang pengeluar bola golf di daerah selatan Pingtung di Taiwan pada 22 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda