IPOH, 26 JUN – Bau busuk dari sebuah rumah di Taman Pinji dekat sini, membongkar penemuan mayat seorang warga emas yang tinggal berseorangan, apabila ditemukan maut di rumah tersebut oleh pasukan bomba petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata jiran yang menghidu bau busuk dari rumah berkenaan, telah membuat aduan kepada pihak polis kerana mengesyaki sesuatu yang buruk menimpa warga emas berusia 70an itu.
“Berdasarkan maklumat daripada polis, seorang lelaki didapati terkunci dalam rumah berkenaan dan anggota memecahkan pintu dengan menggunakan peralatan khas.
“Terdapat seorang mangsa yang tidak sedarkan diri dan telah pun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital, yang tiba ke lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sayani berkata mangsa dianggarkan telah meninggal dunia tiga hingga empat hari yang lalu dan mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis, untuk tindakan selanjutnya. – Bernama
