Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Sempena Sambutan Hari Tanggungjawab Global Maybank yang diadakan setiap tahun, Maybank Brunei turut meraikan sambutan serupa di Sekolah Menengah (SM) Awang Semaun, Kampung Sungai Kebun, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor yang turut merasmikan karnival aktiviti permainan. Turut hadir ialah Pengurus Besar Maybank Brunei, Awang Sulaiman Isa.
Maybank memilih tema sambutan ‘Impact, Engage, Empower’ bagi mengukuhkan lagi komitmen dalam mencari penyelesaian bagi membantu dan meningkatkan kehidupan masyarakat yang memerlukan.
Pada majlis berkenaan, Haji Ali Yusri turut dibawa berkunjung ke Perpustakaan SM Awang Semaun bagi menyempurnakan perasmian Maybank’s Cove.
Pada acara tersebut, para pelajar berpeluang mendengarkan taklimat penyalahgunaan dadah daripada Biro Kawalan Narkotik dan ceramah motivasi daripada pakar motivasi undangan dari Kuala Lumpur, Jinggo @ Harun bin Abu Bakar.
SM Awang Semaun dipilih menjadi lokasi sambutan bagi mempromosikan pendidikan kepada kalangan pelajar yang kurang bernasib baik, di mana pihak Maybank Brunei turut membina satu sudut bacaan di perpustakaan sekolah berkenaan dengan menyediakan buku-buku yang disumbangkan oleh kakitangan Maybank dan pelanggan mereka.
Hari Tanggungjawab Global Maybank merupakan program kemasyarakatan tunggal terbesar yang dilaksanakan secara serentak dalam satu hari yang dikendalikan oleh sebuah perbadanan berpangkalan di Malaysia dalam skala global.