Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Lebih 50 orang kakitangan Maybank Brunei telah mengikuti Projek 3K (Kebersihan, Keindahan dan Keselamatan) di Sekolah Menengah Awang Semaun, Sungai Kebun, kelmarin.
Projek diadakan sebagai sebahagian daripada Hari Tanggungjawab Korporat (CR) Global Maybank ke-10, yang mana lebih 22,000 orang pekerja Maybank di seluruh dunia mengadakan pelbagai inisiatif yang memberi impak positif kepada masyarakat di lokasi masing-masing, bermula kelmarin hingga 30 Oktober depan. Ia merupakan usaha berterusan dalam menyalurkan bantuan bagi lebih 14,000 orang di 14 buah negara.
Dengan membawakan tema Maybank Cares – Impact, Engage & Empower, Hari CR Global merupakan sebahagian daripada program kesukarelawanan Cahaya Kasih yang dikendalikan oleh para pekerja Maybank di negara-negara di mana ia beroperasi.
Pengurus Besar Maybank Brunei, Sulaiman Isa menjelaskan bahawa pada tahun ini, inisiatif bagi mengadakan Projek 3K bersama Sekolah Menengah Awang Semaun memfokuskan tanggungjawab sosial korporat Maybank terhadap pendidikan.
Menurutnya lagi, dengan bantuan organisasi tempatan, Arrtralia Brunei, mereka akan melukis dan mencantikkan lagi persekitaran sekolah berkenaan dengan seni lukisan yang menarik dengan harapan dapat memberikan minat, warna dan keceriaan serta persekitaran yang kondusif bagi para pelajar di sana.
Sementara itu, Ketua Pegawai Modal Manusia Kumpulan Maybank, Nora Manaf berkata bahawa pada tahun ini, yang merupakan tahun ke-10 Hari CR Global diadakan memperlihatkan komitmen berterusan Maybank dalam mengubah kehidupan masyarakat dan memelihara alam sekitar, sejajar dengan misinya.
Para pekerja dan kakitangan Maybank seluruh dunia dari kota London hinggalah ke Labuan turut mengambil bahagian dalam memberikan peranan masing-masing untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat dan alam persekitaran.
Antara inisiatif yang dilakukan ialah sesi penglibatan bersama para pelajar, mengajar kanak-kanak dan mereka yang kurang bernasib baik akan kemahiran hidup atau perancangan kewangan, meluangkan masa bersama warga emas dan anak-anak yatim serta banyak lagi yang dilakukan oleh para pekerja Maybank.

