Maybank, T.Rowe Price kerjasama lancar dana ekuiti China

KUALA LUMPUR, 5 JAN – Anak syarikat Maybank Asset Management Group Bhd (MAMG), Maybank Asset Management Sdn Bhd, melancarkan Dana Ekuiti China yang pertama seumpamanya dengan menumpukan selain 100 saham China terbesar.

MAMG menjelaskan, Maybank Asset Management telah bekerjasama dengan firma pelaburan global, T. Rowe Price untuk menawarkan strategi ekuiti tertumpu China utama T. Rowe Price kepada pelabur Malaysia melalui Dana Ekuiti Evolusi China MAMG.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MAMG, Ahmad Najib Nazlan berkata pihaknya menawarkan satu lagi produk inovatif untuk pelabur Malaysia memulakan tahun baharu dengan Dana Ekuiti Evolusi China MAMG.

“Kami merupakan syarikat pengurusan aset pertama di Malaysia yang menawarkan dana pertama seumpamanya ini di mana kami berusaha untuk mendedahkan sesuatu yang memiliki nilai dalam transformasi ekonomi China.

“Menerusi langkah meluaskan capaian kami dengan melangkaui 100 saham utama kepada pasaran yang mempunyai lebih 5,500 saham yang belum dimanfaatkan, tumpuan unik ini menyediakan pendekatan pelaburan ‘all-China’ yang tidak terhad kepada kami untuk memilih syarikat akan datang yang terbaik dan paling bernilai, digandingkan dengan asas alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk memastikan kemampanan perniagaan,” katanya.

Dana itu akan memanfaatkan strategi pelaburan ekuiti China khusus T. Rowe Price dan menumpukan 98 peratus peluang yang kurang diterokai untuk mengenal pasti juara masa depan yang seiringan dengan fasa baharu pertumbuhan ekonomi China yang memfokuskan kualiti dan inovasi.

Strategi tersebut diuruskan oleh pengurus portfolio berpangkalan di Hong Kong yang memiliki pengalaman pelaburan lebih 13 tahun di firma pengurus aset global itu, jelas MAMG.

Sementara itu, Ketua Pengedaran bagi Asia tidak termasuk Jepun, T. Rowe Price, Elsie Chan berkata China merupakan pasaran yang amat kukuh dengan lebih 5,500 syarikat tersenarai dalam pesisir dan luar pesisir, menawarkan peluang luas kepada pelabur.

“Ia kekal sebagai tempat yang menyokong pertumbuhan untuk ramai pelabur yang mencari perniagaan mampan dan peluang pulangan lebihan potensi menerusi penyelidikan asas dari awal. – Bernama