LAS VEGAS, 27 Ogos – Floyd Mayweather menundukkan Conor McGregor untuk memenangi pertarungan super mahal mereka dengan TKO hari ini, memastikan tempatnya dalam sejarah tinju untuk menuju ke persaraan dengan rekod 50 kemenangan tanpa kalah.
Bekas juara tinju welterweight, Mayweather, yang keluar dari persaraan untuk bertarung dengan bintang MMA dari Ireland itu, menunggu masanya sebelum mula mendominasi pertarungan dari pusingan pertengahan dan seterusnya di T-Mobile Arena.
Pertarungan itu akhirnya berakhir pada pusingan ke-10 dengan McGregor yang letih diasak hingga tepi gelanggang, menyebabkan pengadil, Robert Byrd, masuk campur ketika sejumlah 14,623 penonton, dengan sejumlah selebriti terkenal bersorak.
“Dia jauh lebih bagus berbanding apa yang saya jangka sebelum ini,” kata Mayweather mengenai McGregor. “Dia adalah pesaing sukar, tetapi saya adalah petinju yang lebih hebat malam (pagi) ini.”
Mayweather mendahului keputusan tiga orang juri dengan selesa ketika pertarungan dihentikan.
Warga Amerika itu berkata dia sengaja menunggu di awal pertarungan bagi mengambil manfaat daripada McGregor yang letih. “Pelan pertarungan kami adalah menunggu masa, merapatinya, membiarkannya menyerang awal dan kemudian menundukkannya ketika perlawanan berlanjutan,” katanya.
Sementara itu McGregor berkata pertarungan boleh diteruskan, tetapi memuji persembahan taktikal Mayweather.
“Dia tenang, dia tidak pantas, atau kuat, tetapi badan dia tenang,” kata McGregor.
Ia adalah penamat yang hebat bagi pertarungan yang dinanti-nantikan itu, yang terbukti kompetitif di awal pusingan ketika McGregor berjaya membuat beberapa tumbukan. – AFP