Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Grand Auto Sdn Bhd, pengedar eksklusif kenderaan Mazda di Brunei, petang tadi mengadakan pelancaran rasmi Mazda CX-60 2025 bertempat di Bilik Pameran Mazda di Beribi.
Acara berkenaan turut diserikan dengan penyerahan simbolik CX-60 kepada 11 orang pelanggan pertama.
Menurut kenyataan, Mazda CX-60 direka untuk pelanggan yang mengutamakan pengalaman pemanduan, seiring dengan perkembangan semasa.
Antara ciri-ciri utama Mazda CX-60 termasuklah ruang kabin dan dinamik intuitif yang menjadikan pemanduan lebih menyeronokkan, kejuruteraan berteras keselamatan dengan ciri-ciri canggih bagi ketenangan minda, dinamik pemanduan responsif yang menginspirasikan pemandu untuk pergi lebih jauh, serta reka bentuk berinspirasikan sentuhan keanggunan Jepun yang menggabungkan kuasa, intelek dan kehalusan premium.
Bagi keluaran 2025, Mazda CX-60 memperkenalkan beberapa penambahbaikan penting termasuk pertukaran transmisi lebih lancar bagi pemanduan yang lebih selesa, talaan suspensi dipertingkatkan untuk kestabilan dan keyakinan pemandu, serta penebat kabin baharu yang menjadikan suasana lebih senyap dan menenangkan.
Majlis pelancaran berkenaan turut dihadiri peminat Mazda, rakan media serta pelanggan setia yang berpeluang menjadi antara yang pertama menyaksikan dengan lebih dekat keistimewaan model tersebut.
Orang ramai dijemput untuk mengunjungi bilik pameran Mazda bagi melihat Mazda CX-60 2025 serta merasai sendiri prestasinya melalui sesi pandu uji.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai juga boleh mengikuti Mazda Brunei melalui platform media sosial rasmi.





