Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Sebagai wadah medan perbincangan terbuka bagi para ilmuwan membincangkan perkembangan mazhab secara lebih mendalam, sehubungan itu satu majlis Muzakarah Ulama Nusantara Mazhab Syafi’i telah berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, petang tadi.
Tema Memperkasa Mazhab Syafi’i dalam Era Digital telah dipilih sebagai fokus utama pada sesi muzakarah berkenaan yang mana bertujuan untuk menyerlahkan keistimewaan dan kelebihan Mazhab Syafi’i di mana ia adalah sistem perundangan yang sesuai setiap zaman.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi sama-sama menyaksikan sesi muzakarah berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Muzakarah Ulama Nusantara Mazhab Syafi’i dimulakan dengan kertas kerja yang dibentangkan oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin dengan tajuk Memperkasakan Mazhab Syafi’i dalam Era Digital di Brunei Darussalam yang menekankan keperluan memperkasa autoriti keagamaan tradisional seperti para ulama dan institusi fatwa dengan latihan teknologi dan strategi komunikasi digital supaya mereka tetap menjadi rujukan utama di tengah gelombang maklumat terbuka.
Kertas kerja yang bertajuk Memperkasakan Mazhab Syafi’i dalam Era Masyarakat Digital di Malaysia telah disampaikan oleh mantan Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr. Haji Luqman bin Haji Abdullah.


Antara intipati yang dapat diambil dalam pembentangan berkenaan ialah pendigitalan fatwa dan hukum oleh institusi fatwa perlu dilihat sebagai langkah penerusan dalam pemerkasaan Mazhab Syafi’i.
Seterusnya, Profesor Dr Abdurrahman Dahlan M.A, selaku wakil Ketua Komisi Fatwa Majelis Ulama Indonesia (MUI) Bidang Fatwa, Indonesia, telah menyampaikan kertas kertas yang bertajuk Relevansi dan Tantangan Mazhab Syafi’i Pada Masa Kini dalam Kaitannya dengan Fatwa-fatwa MUI (Majelis Ulama Indonesia) yang menekankan mengenai ijtihad muqayyad (terikat mazhab) dan ijtihad munfak (lintas mazhab) secara selektif dan kolektif (jama‘i) dengan memastikan untuk menjaga kesatuan prinsip dan tidak mengabaikan warisan turāth yang menjadi khazanah Mazhab Syafi’i.
Manakala, Setiausaha Kementerian Keugamaan Kemboja, Dr Yob Ashkary telah menyampaikan kertas kerja bertajuk Pengukuhan Mazhab Syafi’i dan Pendidikan Islam Wasatiyyah di Kemboja yang membincangkan mengenai penubuhan Pusat Pendidikan Islam Kemboja yang berteraskan Mazhab Syafi’i dan pendekatan Islam Wasatiyyah, sebagai strategi jangka panjang untuk membina generasi muda yang teguh akidah, berakhlak, dan berpendidikan tinggi.
Selain itu, Timbalan Mufti Republik Singapura, Dr Izal Mustafa Kamar telah menyampaikan kertas kerja yang bertajuk Memperkasakan Mazhab Syafi’i dalam Era Masyarakat Digital di Singapura yang menyentuh mengenai kepentingan dalam penggunaan teknologi secara beretika dan proaktif di mana institusi keagamaan dan masyarakat perlu memanfaatkan teknologi digital secara berstrategik dalam menyebarkan ilmu Mazhab Shafi’i dengan memastikan prinsip agama dan etika Islam sentiasa terpelihara.
Dengan tajuk kertas kerja Memperkasa Mazhab Syafi‘i dalam Masyarakat Digital di Thailand yang disampaikan oleh Dr Wisarut Lohwithee dari Sheikul Islam Thailand pula menekankan keperluan untuk membangun kerjasama serantau dalam membangunkan pusat sumber digital Mazhab Syafi’i yang mengandungi koleksi kitab, ceramah dan fatwa daripada para ulama Syafi’iyyah Asia Tenggara dengan sokongan institusi fatwa dan pendidikan Islam.
Manakala moderator bagi sesi muzakarah tersebut ialah Penolong Profesor, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Kamaru Salam bin Yusof.
Di samping itu, acara penyampaian sijil kepada kertas kerja dan pembentangan terbaik telah disampaikan oleh tetamu kehormat majlis dan diikuti dengan pembentangan resolusi Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i, UNISSA, Profesor Madya Dr Kamaluddin Nurdin Marjuni.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal yang juga selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Pandu Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i; tetamu-tetamu khas dari dalam dan luar negara, pegawai-pegawai utama UNISSA dan para peserta persidangan.

