Saturday, July 12, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mbappe bakal berdepan PSG semula

    EAST RUTHERFORD, 8 JULAI – Kylian Mbappe bakal berdepan bekas kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG), buat kali pertama sejak meninggalkan kelab Perancis itu setahun lalu apabila revolusi Xabi Alonso di Real Madrid diuji sepenuhnya dalam separuh akhir Piala Dunia Kelab pada Rabu ini.

    Mbappe sepatutnya dikenang sebagai legenda PSG, selepas mengharungi tujuh musim yang cukup produktif bersama kelab itu dan meninggalkan PSG sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 256 gol dalam 308 perlawanan.

    Namun, legasinya sedikit tercalar disebabkan cara pemergiannya – ramai merasakan separuh akhir masanya di Paris hanya dihabiskan dengan menunggu peluang tepat untuk berpindah ke Real Madrid, kelab impiannya sejak kecil.

    PSG, di bawah presiden Qatar, Nasser al-Khelaifi, tidak berpuas hati dengan tindakan Mbappe yang membiarkan kontraknya tamat agar dapat menyertai Real pada 2024, sekali gus menafikan PSG sebarang bayaran perpindahan.

    Pertikaian undang-undang yang tegang antara kedua-dua pihak berlanjutan sejak itu, dengan Mbappe mendakwa PSG masih berhutang sebanyak 55 juta euro (AS$64.4 juta) dalam bentuk gaji dan bonus yang belum dibayar semasa beraksi bersama kelab itu.

    Kylian Mbappe, meraikan jaringan gol ketiga pasukannya dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia Kelab FIFA 2025 menentang Borussia Dortmund pada 5 Julai. – AFP

    Perkembangan terkini muncul minggu ini apabila salah seorang peguam Mbappe memberitahu AFP bahawa kapten Perancis itu telah menarik balik aduan gangguan moral terhadap bekas majikannya.

    Tindakan itu susulan pendedahan Pejabat Pendakwa Paris bulan lalu bahawa siasatan telah dibuka berhubung aduan pemain itu terhadap layanan yang diterimanya daripada PSG pada musim panas 2023.

    Mbappe percaya dia telah diketepikan oleh PSG dan diarahkan berlatih bersama pemain-pemain yang ingin dilepaskan kelab, selepas enggan menandatangani kontrak baharu.

    Beliau juga terlepas jelajah pramusim ke Jepun dan permulaan musim berikutnya sebelum akhirnya diserap semula ke dalam skuad kendalian Luis Enrique.

    Segala drama itu sepatutnya sudah lama ditinggalkan, terutama dengan pencapaian cemerlang Mbappe dalam musim pertamanya bersama Real Madrid.

    Penyerang berusia 26 tahun itu, juara Piala Dunia 2018, telah menjaringkan 43 gol dalam 56 perlawanan di semua kejohanan sepanjang kempen La Liga – satu rekod yang luar biasa.

    Namun, Mbappe berdepan detik kecewa di Piala Dunia Kelab apabila langsung tidak diturunkan dalam peringkat kumpulan akibat jangkitan perut yang memerlukan rawatan hospital.

    Semasa ketiadaannya, penyerang muda Gonzalo Garcia menonjol dengan cemerlang – diturunkan dalam lima perlawanan di Amerika Syarikat dan menjaringkan empat gol. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda