MADRID, 2 SEPT – Kylian Mbappe membalas pengkritiknya apabila dia menjaringkan dua gol pertama dalam La Liga untuk membantu Real Madrid meraih kemenangan 2-0 ke atas Real Betis di Santiago Bernabeu pada Ahad, sekali gus melonjakkan pasukan itu ke tangga kedua liga.
Sejak menjaringkan gol dalam Piala Super UEFA menentang Atalanta, pemain baharu Madrid itu gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan awal La Liga, yang menyebabkannya menerima kritikan daripada media Sepanyol.
Mbappe terpaksa menunggu untuk gol pertamanya setelah mensia-siakan beberapa peluang, namun akhirnya berjaya menjaringkan gol pada minit ke-67, apabila dia menyepak bola menggunakan kaki kirinya selepas menerima hantaran daripada Fede Valverde.
Lapan minit kemudian, kapten Perancis itu menambah gol kedua menerusi sepakan penalti, sebelum menerima sorakan gemuruh daripada penyokong apabila diganti oleh Luka Modric pada minit ke-84.
“Ia adalah saat yang hebat,” kata Mbappe kepada stesen televisyen Sepanyol selepas perlawanan.
“Saya benar-benar berharap untuk menjaringkan gol di Bernabeu, di stadium yang terbaik di dunia. Tetapi yang paling penting ialah kami menang.
“Selepas perlawanan menentang Las Palmas, kami tahu kami perlu menang. Dan itulah yang kami lakukan hari ini, dalam perlawanan yang sukar. Tetapi kami Real dan akhirnya kami menang dan dengan gaya.”
Senyuman di wajah Mbappe berbeza dengan kebimbangan yang ditunjukkan sejak beliau menjaringkan gol pertama dan memenangi trofi pertama di Warsaw pada 14 Ogos lalu. – AFP