METZ, 6 JUN – Pasukan pilihan Euro 2024, Perancis menewaskan Luxembourg 3-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa kelmarin dengan penyerang superstar, Kylian Mbappe mencipta gol.
Dalam kejohanan yang bermula di Jerman Jumaat depan, Perancis berada dalam Kumpulan D bersama Belanda, Austria dan Poland, yang semuanya merupakan saingan yang jauh lebih mencabar di atas kertas berbanding Luxembourg, yang bertahan sehingga lewat separuh masa pertama.
Dengan gol ketiga dalam empat perlawanan untuk Perancis, Randal Kolo Muani menjaringkan gol 43 minit selepas diumpan oleh Mbappe, manakala pertahanan Marseille, Jonathan Clauss merembat kencang ke penjuru atas pada minit ke-70 untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Bagaimanapun, sorakan terbesar malam itu muncul apabila pemain gantian, Bradley Barcola menggelecek bola di sekitar pertahanan lawan untuk memberikan peluang kepada Mbappe pada minit ke-85, di mana penyerang Real Madrid itu menerjah ke gawang dengan penuh yakin.
“Jaringan tersebut baik untuknya,” kata Deschamps.
“Kylian adalah seorang pemimpin yang hebat dan kami memerlukannya pada tahap terbaiknya,” katanya mengenai Mbappe, yang kelihatan kurang bertenaga dalam dua perlawanan terdahulu bersama pasukan Perancis.
Anak buah Didier Deschamps akan berdepan Kanada Ahad ini di Bordeaux, sebelum perlawanan pembukaan Euro 2024 pada 17 Jun di Dusseldorf menentang Austria. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/06/P22-3A-AFP-07062024.jpg)