Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mbappe calar rekod tanpa tewas Bayern Munich

    MUNICH, 8 APRIL – Kylian Mbappe menegaskan Paris Saint-Germain (PSG) perlu terus berusaha selepas beliau berjaya meledakkan dua gol ketika membantu kelabnya melakar kemenangan 3-2 ke atas juara bertahan, Bayern Munich pada perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara, semalam.

    Rekod tanpa tewas Bayern sepanjang 19 perlawanan di Liga Juara-Juara berakhir selepas gergasi Jerman itu tewas kali pertama di kejohanan Eropah sejak Mac 2019.

    PSG mendahului perlawanan 2-0 selepas 28 minit di Allianz Arena apabila Neymar memberikan assist kepada Mbappe dan Marquinhos untuk menjaringkan gol.

    Bayern yang menyaksikan penjaring terbanyaknya, Robert Lewandowski diketepikan kerana kecederaan lutut, bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Eric Maxim Choupo-Moting dan Thomas Mueller.

    Bagaimanapun Mbappe kemudian menunjukkan kehebatan sebenarnya menerusi gol menarik untuk memberikan pelawat kelebihan gol menjelang aksi timbal balik di Paris.

    Aksi Kylian Mbappe dari PSG, ketika menjaringkan gol ketiga pasukannya semasa perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich semalam. – AP

    “Kami memanfaatkan segala peluang dan sedikit bernasib baik. Tetapi ia masih belum berakhir,” kata Mbappe dengan perlawanan pusingan kedua di Paris akan berlangsung Rabu depan.

    Penjaga gol PSG, Keylor Navas turut memainkan peranan penting dengan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya daripada pasukan tuan rumah dengan sebanyak 31 kali percubaan gol.

    “Kami sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol, kata Mueller.

    “Jika ia berakhir dengan keputusan 5-3 atau 6-3 memihak kepada kami, tiada siapa mempersoalkannya berdasarkan kepada peluang yang banyak kami perolehi.”

    Menurut Jurulatih Bayern, Hansi Flick, “Dengan peluang yang kami miliki, kami dapat memperoleh hasil yang baik meskipun bolos tiga gol.

    “Kami tidak suka kalah, tapi cara pasukan bermain adalah yang terbaik.”

    Ia adalah penampilan ke-19 di suku akhir Liga Juara-Juara untuk Bayern, tetapi tidak banyak yang dapat mereka raikan ketika wisel penamat dibunyikan.

    “Kylian Mbappe membuat perbezaan. Ini keputusan yang sangat positif bagi kami, tetapi semuanya masih terbuka,” kata jurulatih PSG, Maurico Pochettino. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda