PARIS, 30 OGOS – Lionel Messi muncul membuat penampilan pertamanya bersama Paris Saint-Germain (PSG) selepas diturunkan sebagai pemain gantian pada perlawanan semalam namun Kylian Mbappe mencuri tumpuan apabila meledakkan dua gol untuk membantu PSG meraih kemenangan 2-0 ke atas Reims dalam aksi Ligue 1.
Messi, yang memakai jersi nombor 30, diturunkan dari bangku simpanan pada minit ke-66 untuk menggantikan Neymar di Stade Auguste-Delaune dengan hampir 21,000 melaungkan namanya ketika dia dilihat bersama pasukannya dalam sesi memanaskan badan.
Pemain Argentina itu masih belum diturunkan sejak tiba ke Paris dari Barcelona tiga minggu lalu, penampilan terakhirnya adalah ketika final Copa America pada 11 Julai lalu yang mana dia mengetuai negaranya untuk muncul juara menewaskan Brazil.
Pemenang enam kali Ballon d’Or itu perlu menantikan gol pertamanya bersama kelab baharu itu dan permulaan pertamanya mungkin akan berlaku pada perlawanan PSG yang seterusnya menentang Clermont 11 September ini.
“Saya sangat gembira apabila dia membuat penampilan pertamanya. Itu sangat penting baginya,” kata jurulatih PSG, Mauricio Pochettino.

“Dia masih jauh dari aksi terbaiknya tapi dia berlatih dengan baik dan akan kembali cergas dua minggu akan datang selepas waktu rehat antarabangsa dan ya, kami menanti aksi terbaik darinya.”
Minggu ini banyak spekulasi timbul bukan mengenai Messi tetapi mengenai masa depan Mbappe dengan Real Madrid dilaporkan menawarkan dua tawaran kepada penyerang Perancis yang meraih Piala Dunia itu namun ditolak.
Difahamkan tawaran baharu bernilai 180 juta euro (AS$212 juta) adalah jumlah yang tinggi bagi pemain yang kontraknya tamat pada penghujung musim dan bebas untuk berbincang dengan mana-mana kelab baharu Januari tanpa PSG mendapat bayaran perpindahan.
Jumlah itu juga sama dengan apa yang PSG bayar kepada Monaco ketika mendapatkan Mbappe pada 2017 dan jelas ia akan menjadi nilai tertinggi jika ini menjadi penampilan terakhirnya bersama kelab.
Dengan tarikh akhir jendela perpindahan Selasa ini, pemain berusia 22 tahun itu tidak kelihatan terganggu ketika dia menanduk masuk hantaran dari Angel Di Maria pada minit ke-15 untuk meletakkan PSG di depan.
Mbappe kemudian menjaringkan gol kedua dan ketiga musim ini pada minit ke-60, menerusi hantaran lintang dari Achraf Hakimi. – AFP