MIAMI, 20 JUN – Bintang Real Madrid, Kylian Mbappe telah dibenarkan keluar dari hospital di Amerika Syarikat (AS) selepas mengalami sakit perut, kata kelab gergasi Sepanyol itu kelmarin.
Mbappe, yang berada di AS untuk kejohanan Piala Dunia Kelab, mengalami gastroenteritis dan telah dibawa ke hospital untuk ujian dan rawatan.
“Pemain kami Kylian Mbappe telah keluar dari hospital petang ini dan telah kembali ke kem latihan Real Madrid,” kata Los Blancos dalam satu kenyataan.
“Mbappe akan meneruskan rawatan perubatan khusus dan secara beransur-ansur akan kembali bersama pasukan,” tambah mereka.
Pemain penyerang Perancis, Mbappe, terlepas aksi pembukaan Piala Dunia Kelab pasukannya menentang Al-Hilal Rabu lalu, yang mencatat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan pertama Xabi Alonso sebagai pengurus pasukan itu.
Alonso berkata Selasa lalu pemain penyerang berusia 26 tahun itu telah berasa lebih sihat selepas mengalami sakit menjelang perlawanan di Miami.
Pemain pasukan B Madrid, Gonzalo Garcia, 21, memulakan permainan sebagai pengganti Mbappe dan membuka jaringan untuk Real Madrid menentang lawan mereka dari Arab Saudi.
Perlawanan kedua Madrid dalam Kumpulan H adalah pada 22 Jun menentang pasukan dari Mexico, Pachuca, yang akan berlangsung di Charlotte.
Mbappe menamatkan saingan sebagai pemenang Kasut Emas Eropah pada musim pertamanya di Real Madrid dengan 31 gol dalam La Liga, tetapi Los Blancos
menamatkan musim itu tanpa trofi utama. – AFP
