PARIS, 13 JUN – Kylian Mbappe tidak pernah berbincang untuk melanjutkan kontraknya dengan Paris Saint-Germain (PSG) melebihi tahun depan, kata bintang Perancis itu kepada AFP dalam satu kenyataan hari ini, sehari selepas dia menghantar surat kepada kelab mengesahkan bahawa dia tidak akan mengambil pilihan untuk terus berada di kelab juara Perancis itu sehingga 2025.
Kelab itu ‘dimaklumkan pada 15 Julai 2022’ mengenai keputusannya untuk tidak mengaktifkan pilihan untuk melanjutkan kontraknya, yang berakhir selepas musim depan, selama setahun tambahan ‘dan satu-satunya tujuan surat itu adalah untuk mengesahkan apa yang telah dibincangkan sebelum ini’, kata kenyataan itu.
“Kylian Mbappe dan pengiringnya mengesahkan bahawa perkara ini tidak dibincangkan sepanjang tahun ini, kecuali dua minggu lalu bagi mengumumkan penghantaran surat itu.
“Tiada sebarang perbincangan mengenai pelanjutan kontrak telah dibincangkan,” tambahnya.
“Selepas menyatakan secara terbuka dalam beberapa minggu kebelakangan ini bahawa dia akan menjadi pemain PSG musim depan, Kylian Mbappe tidak meminta untuk meninggalkan PSG pada musim panas ini dan baru saja mengesahkan kepada kelab bahawa dia tidak akan mengaktifkan tahun tambahan,” jelas Mbappe dan pengiringnya.

Kenyataan itu diakhiri dengan mengatakan bahawa pemenang Piala Dunia 2018 itu ‘dan pengiringnya berasa kesal kerana surat itu telah disebarkan di media dan bahawa perbincangan ini didedahkan kepada umum dengan tujuan semata-mata untuk merosakkan imej mereka dan perbincangan dengan kelab’.
Surat Mbappe kepada PSG datang setahun selepas penyerang Perancis berusia 24 tahun itu menandatangani perjanjian baharu untuk kekal bersama juara Perancis tersebut, menolak tawaran daripada Real Madrid dalam proses itu.
Menurut sumber yang mempunyai pengetahuan mengenai perbincangan itu, PSG terkejut bahawa kandungan surat itu bocor dan tidak merancang untuk membiarkan Mbappe pergi secara percuma.
Ini bermakna mereka akan merunding semula kontrak atau menjualnya dalam jendela perpindahan ini. – AFP

