PARIS, 7 OKT – Kapten pasukan Perancis, Kylian Mbappe, kini sedang menjalani rawatan bagi kecederaan ringan di buku lali kanan selepas membuat perjumpaan bersama skuad kebangsaan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2026, kata jurulatih Didier Deschamps kelmarin.
Mbappe mengalami kecederaan kecil itu pada penghujung aksi kemenangan Real Madrid 3-1 ke atas Villarreal dalam saingan LaLiga, sekali gus menimbulkan keraguan mengenai kesediaannya untuk beraksi menentang Azerbaijan dan Iceland minggu ini.
“Saya sudah berbincang dengan Kylian. Dia hanya mengalami sedikit kecederaan, tidak serius.
Jika serius, dia tentu tidak akan bersama kami hari ini,” kata Deschamps kepada wartawan di pusat latihan pasukan di Clairefontaine, berhampiran Paris.
“Kami akan menilai keadaannya bersama pasukan perubatan dan lihat bagaimana perkembangannya nanti.”

Sementara itu, Ibrahima Konate, turut menjalani ujian perubatan selepas mengalami kecederaan ketika kekalahan 2-1 Liverpool kepada Chelsea pada Sabtu.
Kedua-dua pemain tersebut menerima rawatan semasa sesi latihan kelmarin dan dijangka meneruskan pemulihan hari ini, menurut kenyataan kakitangan kejurulatihan skuad kebangsaan Perancis.
Dalam perkembangan lain, Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) telah mengesahkan, penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Bradley Barcola, akan dihantar pulang dari kem latihan kerana mengalami kecederaan hamstring.
“Selepas pemeriksaan bersama doktor pasukan kebangsaan Barcola yang disahkan mengalami kecederaan kronik pada otot hamstring kanan sejak perlawanan Liga Juara-Juara menentang Atalanta pada 17 September lalu,” kata FFF dalam kenyataan rasmi.
Namun, PSG menolak dakwaan tersebut, dengan menyatakan, laporan perubatan FFF tidak selari dengan maklumat yang diberikan oleh kelab.
Barcola beraksi selama 60 minit dalam keputusan seri PSG menentang Lille pada Ahad tanpa menunjukkan tanda-tanda kecederaan semasa perlawanan tersebut. – AFP

