Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mbappe julang Monaco di persada

    PARIS, 30 April – Pemain remaja sensasi, Kylian Mbappe sekali lagi menjaringkan gol menakjubkan untuk Monaco ketika pendahulu Ligue 1 Perancis itu bangkit menewaskan Toulouse 3-1.

    Kemenangan di laman sendiri itu berjaya mengukuhkan kedudukan Monaco di puncak liga dengan kelebihan tiga mata selepas mengumpul jumlah keseluruhan 83 mata, melepasi jumlah 80 mata yang diraih pada musim 2013-14.

    Ola Toivonen menjaringkan gol untuk Toulouse selepas seminit perlawanan separuh masa kedua bermula, sekali gus dilihat mampu menjejaskan harapan Monaco dalam memburu gelaran di Stade Louis II, tetapi Kamil Glik berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-49.

    Selepas itu, Mbappe meledakkan gol ke-14 dalam saingan liga untuk gol kedua Monaco pada minit ke-64 sebelum Thomas Lemar mengesahkan kemenangan mutlak tuan rumah, pada minit ke-75.

    Monaco kini berada di landasan tepat merangkul gelaran juara liga sejak 2000 apabila pasukan yang belum pernah tewas di laman sendiri, Nice yang berada di tangga ketiga akan menanti kunjungan pasukan di tangga kedua liga, Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi esok.

    Remaja sensasi Monaco, Kylian Mbappe Lottin (kanan) diasak oleh pemain pertahanan Toulouse, Kelvin Amian dalam aksi Ligue 1. – AFP
    Remaja sensasi Monaco, Kylian Mbappe Lottin (kanan) diasak oleh pemain pertahanan Toulouse, Kelvin Amian dalam aksi Ligue 1. – AFP

    “Kami telah melakukan beberapa perkara menakjubkan, tetapi kami akan terus melakukannya dengan lebih baik,” kata jurulatih Monaco, Leonardo Jardim.

    Monaco kini mengalihkan tumpuan mereka ke Eropah apabila Monaco bersedia untuk mengalu-alukan Juventus dalam separuh akhir perta Liga Juara-Juara pertengahan minggu depan.

    “Perlawanan ini (menentang Toulouse) adalah sangat penting. Ia tidak kurang penting dengan perlawanan menentang Juventus. Saya tidak akan menukar kemenangan ini dengan satu kemenangan menentang Juventus,” kata Jardim.

    Pakar taktik dari portugal itu telah mengembalikan kesebelasan utamanya, termasuk Mbappe, Radamel Falcao dan Bernardo Silva, selepas menurunkan barisan kurang berpengalaman dalam kekalahan 5-0 Monaco bagi persaingan separuh akhir Piala Perancis di PSG. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda