Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mbappe kukuhkan impian Real Madrid

    MADRID, 16 SEPT – Format pertandingan mungkin baharu tetapi buat sesetengah pihak, tanggapan mereka masih menjangkakan pemenang kekal yang sama.

    Seandainya rekod prospek juara 15 kali Real Madrid di Liga Juara-Juara masih belum memadai, kehadiran bintang Kylian Mbappe tentunya menjadikan Los Blancos sebagai pasukan digeruni dalam kejohanan itu.

    Kelab Stuttgart dari Jerman diberikan penghormatan untuk bertemu juara bertahan Eropah itu pada minggu pembukaan kejohanan, bertandang ke Santiago Bernabeu, pada awal pagi Rabu ini.

    Madrid menewaskan Borussia Dortmund pada final yang berlangsung di Wembley musim lalu untuk menjulang trofi keenam mereka dalam tempoh 11 tahun lalu.

    Carlo Ancelotti, pengendali yang paling dihormati dalam sejarah kejohanan dengan lima gelaran, masih belum menemui persediaan terbaik untuk ledakan penyudah Mbappe dalam permainan terbuka dan ada yang menyifatkan dia akan menemuinya, tidak lama lagi.

    Penyerang berusia 25 tahun itu dianggap memperoleh permainan terbaiknya buat kelab ketika pasukan meraih kemenangan 2-0 ke atas Real Sociedad dalam saingan La Liga, Sabtu lalu, mengancam pasukan Basque dengan rentaknya dan mempunyai keserasian dan kerjasama baik dengan Vinicius Junior di bahagian serangan.

    Mbappe meledak jaringan meskipun dari sepakan penalti dan dia dilihat begitu teruja untuk penampilannya dalam saingan Liga Juara-Juara.

    “Ia akan menjadi sesuatu yang sangat penting buat saya seperti saya katakan pada hari pertama lagi, saya tiba di Madrid untuk melalui perkara sebegini,” kata Mbappe.

    “Saya sangat fokus dengan apa yang kami mahu lakukan, Liga Juara-Juara sudah banyak berubah, ia satu kejohanan baharu dan kami harus melakar kemenangan untuk bermula dengan baik.” – AFP

    Aksi Kylian Mbappe dan pemain tengah Rusia bersaing untuk mendapatkan bola semasa perlawanan bola sepak liga Sepanyol pada 14 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda