Mbappe mungkin turun beraksi untuk PSG

LISBON, 12 OGOS – Kylian Mbappe dijangka akan turun beraksi untuk Paris Saint-Germain dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara menentang Atalanta di Lisbon hari ini selepas menjalani pemulihan dengan baik daripada kecederaan buku lali, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua jurulatih, Thomas Tuchel pada malam sebelum perlawanan.

“Jika dia berlatih dengan baik pada Selasa malam dan tiada mengalami sebarang masalah, dia akan berada bersama pasukan pada Rabu,” Tuchel memberitahu wartawan.

Walau bagaimanapun, Tuchel memberi bayangan bahawa Mbappe besar kemungkinan akan diturunkan dari bangku simpanan menentang kelab Itali. “Kami sangat gembira mendapat tahu kemungkinan kami akan menamatkan permainan bersama Kylian di atas padang kerana ia memberikan Neymar seseorang yang suka bermain bersamanya,” katanya.

Mbappe sedang berlumba untuk cergas bagi perlawanan ‘Lapan Terakhir’ selepas mengalami kecederaan pada bahagian buku lali dalam terjahan keras semasa final Piala Perancis PSG menentang Saint-Etienne pada 24 Julai lalu. Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu kembali berlatih pada hujung minggu di kem latihan PSG di Portugal, Algarve. Sama ada dia memulakan permainan atau tidak, pengumuman itu telah menaikkan semangat juara Perancis ketika mereka menyasarkan untuk mara ke pusi-ngan separuh akhir kejohanan elit Eropah buat kali pertama sejak pengambilalihan pemilik Qatar hampir sedekat yang lalu.

Sementara itu, Tuchel tidak menolak kemungkinan pemain tengah, Marco Verratti akan diketepikan bagi baki kejohanan, jika PSG mara hingga ke final. – AFP

Kylian Mbappe menjalani latihan di Lisbon menjelang pertemuan menentang Atalanta di Liga Juara-Juara. – AP