Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mbappe pecahkan rekod gol

    PARIS, 16 APRIL — Kylian Mbappe dan Lionel Messi masing-masing menjaringkan gol ketika pendahulu liga Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) memanfaatkan kad merah selepas menewaskan Lens 3-1 dan mendahului sembilan mata daripada pesaingnya.

    Ia juga merupakan gol istimewa buat Mbappe. Terdahulu, dia menjadi penjaring terbanyak sepanjang masa PSG apabila memadam rekod 200 gol Edinson Cavani. Jaringan Mbappe menentang Lens semalam menjadikan penyerang Perancis berusia 24 tahun itu sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa untuk PSG dalam liga dengan 139 gol. Cavani menjaringkan 138.

    Secara keseluruhan, Mbappe kini menjaringkan 203 gol untuk PSG.

    Lens mengawal sepenuhnya permainan sehingga pemain tengah, Salis Abdul Samed dilayangkan kad merah kerana mengasari bek kanan, Achraf Hakimi pada minit ke-19.

    Mbappe menjaringkan gol ke-20 yang mendahului liga apabila dia mengambil hantaran daripada pemain tengah, Vitinha dan berpusing dengan pantas sebelum merembat ke sudut kanan bawah pada minit ke-31. Vitinha menggandakan pendahuluan enam minit kemudian dengan rembatan 25 meter ke sudut yang sama.

    Messi kemudian bergabung pada minit ke-40 dengan Mbappe, yang menghantar bola ke arah pemain Argentina itu untuk rembatan rendah. Ia adalah gol liga ke-15 Messi.

    Lens bermain lebih baik daripada PSG pada separuh masa kedua, walaupun dalam keadaan kurang pemain. Bola terkena tangan pemain PSG, Fabian Ruiz susulan sepakan sudut memberikan Lens penalti dan pemain sayap Poland, Przemysław Frankowski menyempurnakan gol pada minit ke-60. – AP

    Aksi Kylian Mbappe dari PSG semasa perlawanan menentang Lens di stadium Parc des Princes, Perancis, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda