MADRID, 9 FEB – Kylian Mbappe memastikan Real Madrid mengikat Atletico Madrid 1-1 yang mengekalkan Los Blancos di puncak La Liga, semalam.
Julian Alvarez menyempurnakan penalti kontroversial pada separuh masa pertama untuk Atletico mendahului, tetapi Mbappe menyamakan kedudukan pada awal separuh masa kedua dalam penampilan sulungnya dalam aksi yang amat sengit itu.
Juara bertahan, Real Madrid, kini mendahului Atletico di tempat kedua dengan kelebihan satu mata, sementara Barcelona di tangga ketiga dan berpeluang merapatkan jurang d apabila mereka bertemu Sevilla, hari ini.
Atletico menguasai babak pertama tetapi mereka terpaksa bertahan pada separuh masa kedua apabila tuan rumah menggandakan intensiti dalam aksi di Santiago Bernabeu.
“Pasukan kecewa kerana mereka rasakan mereka sepatutnya mendapat lebih banyak lagi tetapi kami gembira kerana masih mendahului.
“Di babak kedua, kami menguasai sepenuhnya, kami mempunyai banyak peluang,” kata pengurus Real, Carlo Ancelotti.
Ancelotti memilih untuk menurunkan empat pemain serangan utama iaitu Mbappe, Vinicius Junior, Jude Bellingham dan Rodrygo Goes, menggantikan pendekatan yang lebih konservatif.
Bintang-bintang tersebut berusaha keras, walaupun tidak selalu memberikan prestasi pertahanan yang kukuh, dan separuh masa pertama menjadi pertarungan yang sengit tanpa peluang jelas untuk kedua-dua pasukan.
Atletico berasa kecewa apabila pemain tengah Real Madrid, Dani Ceballos, hanya diberikan kad kuning kerana mengasari Pablo Barrios, tetapi tuan rumah berasa amat marah apabila pengadil Cesar Soto Grado menunjuk ke kotak penalti.
Aurelien Tchouameni, yang bermain sebagai pertahanan tengah menggantikan Antonio Rudiger dan Eder Militao yang cedera, terpijak kaki Samuel Lino di dalam kotak penalti.
Selepas semakan VAR, Soto Grado memberikan penalti kontroversial yang membuatkan Madrid berasa kecewa, dengan insiden tersebut berlaku selepas bola melewati kedua-dua pemain.
Madrid menyamakan kedudukan pada awal babak kedua apabila Rodrygo keluar dari sebelah kanan kotak dan melencongkan bola kepada Bellingham. – AFP