Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mbappe, PSG berdepan saman bernilai ratusan juta euro

    PARIS, 18 NOV – Pertikaian berlarutan antara Kylian Mbappe dan bekas kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG), memasuki Mahkamah Buruh Perancis kelmarin dalam sesi perbicaraan tegang yang menyaksikan kapten Perancis itu menuntut 263 juta euro (AS$304 juta), manakala kelab berkenaan membalas dengan menuntut 440 juta euro daripadanya.

    Kedua-dua pihak mengemukakan senarai panjang rungutan, masing-masing dengan tuntutan nilai tersendiri.

    PSG berkata jumlah tuntutan mereka sebahagiannya berpunca dari kegagalan perpindahan bernilai 300 juta euro ke kelab Arab Saudi, Al Hilal, yang ditolak Mbappe pada Jun 2023, serta kesannya selepas itu.

    Mbappe kemudian berhijrah ke Real Madrid secara perpindahan percuma selepas kontraknya tamat pada musim panas berikutnya.

    “Kami sememangnya menuntut 440 juta euro,” kata Renaud Semerdjian, salah seorang daripada tujuh peguam yang mewakili PSG, kepada AFP selepas perbicaraan.

    Menurut Semerdjian, jumlah itu merangkumi kehilangan hasil perpindahan, pampasan kerosakan imej kelab, serta dakwaan pelanggaran satu perjanjian yang dikatakan dimeterai dengan Mbappe selepas dia menolak tawaran perpindahan ke Arab Saudi.

    Mbappe, yang tidak hadir tetapi diwakili empat peguam, menegaskan dia tidak pernah membuat sebarang perjanjian pada 2023 untuk mengetepikan sebarang bayaran dari kelab.

    Kylian Mbappe meraikan kejayaannya selepas memenangi perlawanan kelayakan kumpulan D Piala Dunia 2026 menentang Ukraine di Paris pada 13 November. – AP

    Penyerang berusia 26 tahun itu pada mulanya memfailkan aduan pada Jun lalu berhubung layanan PSG terhadapnya pada awal musim 2023–2024.

    Mbappe berhujah dia diketepikan oleh kelab milik Qatar itu dan diarahkan berlatih bersama pemain yang hendak dilepaskan selepas enggan menandatangani kontrak baharu.

    Amalan tersebut merupakan isu meluas dalam bola sepak Perancis sehingga mendorong kesatuan pemain memfailkan aduan tahun lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda